Ilmu Akhir Zaman



Habib Syed Hassan Ahmad al-Attas

Nama penuh beliau ialah Syed Hassan bin Ahmad bin Zain al-Attas. Nasab beliau adalah bersambung sehingga kepada Rasulullah s.a.w.. Beliau adalah seorang ulama di zamannya, begitu juga datuknya; Habib Zain al-Attas.

Sejarah kedatangan keluarganya bermula pada awal abad ke-18, apabila datuknya berhijrah ke Tanah Melayu. Datuknya kemudian bermastautin di negeri Pahang dan bersahabat baik dengan kerabat DiRaja Pahang. Beliau banyak membuat kebajikan kepada rakyat dan masyarakat di sana. Pada tahun 1832, lahirlah Habib Hassan di Kampung Maulana di sebuah rumah berhampiran dengan Istana Tun Ali (Pahang).

Ketika hidupnya, beliau dikenali sebagai seorang ulama, pendakwah dan juga ahli perniagaan yang telah banyak menabur jasa. Di sana, beliau telah mendirikan Madrasah al-Attas yang pertama di Pekan Pahang. Setelah penghijrahan beliau dan bermastautin di negeri Johor, beliau menubuhkan sebuah lagi madrasah yang juga diberi nama Madrasah al-Attas. Beliau bukan sahaja berbaik-baik dengan masyarakat, tetapi sentiasa bergaul baik dengan Raja-raja Melayu samada ketika di negeri Pahang mahupun di negeri Johor. Di Johor, beliau bersahabat baik dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar, sehingga beliau dipelawa oleh baginda sultan untuk menetap di Johor. Di Johor, beliau tinggal di Kampung Habib Hassan (sekarang Wadi Hassan). Beliau telah menubuhkan dua institusi penting bagi memastikan legasu pendidikan Islam yang tersusun dapat diwarisi di bumi Johor Darul Takzim. Sebuah madrasah peringkat rendah aliran Arab dan Melayu didirikan pada tahun 1913 di Bukit Timbalan. Dan sebuah lagi bertaraf menengah iaitu Kuliah al-Attas pada tahun 1932. Pada tahun yang sama, beliau dilantik mengetuai rombongan ulama Asia Tenggara menghadiri Muktamar Islam Sedunia di Mesir. Dengan bakat kepimpinan yang serba boleh, beliau telah menyandang beberapa jawatan rasmi di dalam kerajaan negeri Johor. Antaranya ialah Pesuruhjaya Polis Johor (1913), Ahli Lembaga Bandaran Johor Bahru (1916), Pegawai Daerah Kluang (1921) dan Majistret Daerah Kluang. Setelah pemergian beliau ke rahmatullah, satu badan yang bertanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk menguruskan wakaf yang ditinggalkan beliau telah ditubuhkan berdasarkan wasiat yang ditulis beliau bertarikh 20 Mei 1931. Wakaf itu termasuk Madrasah al-Attas yang kini dipimpin oleh Syed Ali bin Mohamed al-Attas selaku Pengerusi Majlis Trustee.

Begitu banyak jasa yang dicurahkan beliau, sementelah seorang hartawan yang dermawan. Atas segala jasa dan pengorbanan beliau itu, Habib Hassan telah dianugerahi darjah kebesaran tertinggi Johor, iaitu Darjah Kerabat (DK) Johor oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1926. Beliau menyahut seruan Ilahi pada tahun 1932 di rumahnya di Kampung Wadi Hassan, Johor Bahru, Johor. Pemergiannya sukar dicari ganti. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat ke atas Allahyarham, amiin.


Kalami Lisani

Post a Comment

0 Comments

Ulasan