Ilmu Akhir Zaman



Kiyai Salleh bin Abdul Karim

Salleh bin Abdul Karim dilahirkan pada tahun 1916, di Tanjung Olak, Bukit Pasir, Muar, Johor. Bapanya Abdul Karim bin Kassim berketurunan India dan bekerja sebagai buruh kasar. Ibunya bernama Hajah Lebar binti Mahmud berketurunan Banjar. Salleh mempunyai empat orang adik-beradik, tiga lelaki dan seorang perempuan. Dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, Salleh hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah sahaja. Iaitu di Sekolah Melayu Jorak, Muar. Ketika umurnya lebih kurang 13 tahun, dia telah diusir dari rumah oleh bapanya kerana perangainya yang amat nakal. Dia sering memukul kawan-kawannya dan suka mencuri. Perangainya ini berterusan sehingga dewasa. Dia juga dikenali dengan nama Salleh Keling dan Salleh Hitam kerana kulitnya yang gelap. Setelah keluar dari kampungnya di Pagoh, Muar, Salleh telah merantau, mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Setakat mempunyai kelulusan sekolah rendah, pekerjaan yang sesuai untuknya hanyalah buruh kasar. Sambil bekerja, dia telah mempelajari berbagai-bagai ilmu untuk mengisi dadanya; ilmu pengasih, ilmu kebatinan dan berbagai lagi. Pantang didengar guru yang pandai, berlalu sahaja Salleh menuntutnya. Setelah puas merantau, akhirnya dia menetap di Parit Kawi, Pontian. Di Pontian, Salleh digelar "Bayang-bayang Hitam" kerana kerjanya yang suka mencuri. Perbuatan ini dilakukannya sesuka hati, bahkan dia berani mencuri secara terang-terangan. Oleh kerana perbuatannya itu, dia menjadi buruan polis. Tetapi, dengan kecekapan dan kepantasannya, tambahan pula dengan ilmu-ilmu kebatinan yang diamalkannya, dia tidak dapat ditangkap polis. Akhirnya, dia menyerah diri kepada pihak polis, setelah diugut akan ditahan ibunya sekiranya dia todak menyerah diri. Salleh telah dipenjarakan selama tujuh hari di Balai Polis Johor Bahru. Semasa menetap di Kampung Parit Kawi, Salleh tertarik dengan seorang gadis bernama Basariah binti Abdul Rashid. Oleh kerana sifat dan perangainya yang buruk, sudah tentu cita-citanya untuk memperisterikan Basariah akan ditentang oleh piak keluarga perempuan. Namun, azamnya untuk menyunting Basariah menjadi isterinya sangat kuat menyebabkan dia menggunakan ilmu-ilmu pengasih yang dipelajarinya. Akhirnya, dia berjaya mengahwini Basariah pada tahun 1936. Menurut Hajah Esah (nama Basariah setelah menunaikan fardhu haji pada tahun 1947), dia sentiasa merindukan Salleh sehingga hampir-hampir gila. Memandangkan sakitnya yang semakin teruk, bapa saudaranya, Haji Sulaiman telah menasihatkan orang tuanya supaya menerima sahaja Salleh sebagai menantunya. Majlis perkahwinannya dilangsungkan di Jalan Ibrahim, Pontian, Johor. Ketika itu, Basariah berumur 11 tahun. Hasil dari perkahwinan ini, mereka dikurniai tiga orang cahaya mata, iaitu Mohd Yusof, Omar dan Abdul Samad. Namun, kehidupan di zaman pemerintahan Jepun sangat susah, terutamanya untuk mendapatkan bahan makanan. Apa sahaja yang boleh dimakan tidak akan ditolak asal boleh mengenyangkan perut. Kejadian rompakan pula sering sahaja berlaku. Di saat-saat terdesak begini, Salleh kembali melakukan kerja lamanya iaitu mencuri dan merompak. Isterinya begitu sabar dan mendoakan agar suaminya itu berubah. Namun, akhirnya isteri Salleh tidak dapat bertahan lagi untuk hidup bersamanya setelah terpaksa mendengar cemuhan dan cacian yang dilemparkan masyarakat terhadap suaminya. Oleh kerana itu, isterinya menuntut penceraian kerana tidak dapat bersabar lagi melihat kelakuan suaminya yang belum insaf dan masih lagi meneruskan kerja merompak dan mencuri. Setelah bersetuju untuk menceraikan isterinya, pada sebelah malamnya dia bermimpi bertemu dengan seorang alim yang telah menasihatkannya supaya jangan menceraikan isterinya. Jika diceraikan, dia qkan ditimpa kesusahan. Sebaliknya, jika dia mematuhi nasihatnya, orang alim ini berjanji akan selalu membantunya dalam masa-masa kesusahan kelak. Dengan hal yang demikian, dia membatalkan niatnya untuk menceraikan isterinya. Semenjak itu, orang alim yang dijumpainya di dalam mimpi itu selalu datang membantunya apabila dia berada di dalam kesusahan. Salleh kemudiannya membawa isterinya berpindah daru Ayer Bemban, Pontian ke Parit Gantung, Lupiak, Batu Pahat. Setelah keluarga berada di sisi, mudahlah dia mengatur rancangan samada untuk berniaga atau lainnya. Pada masa itu, gerombolan komunis yang sedang berpusat di Seri Medan menyebabkan keadaan di kawasan Mukim Empat, Mukim Enam, Mukim Tujuh, Mukim Lapan dan Mukim Lapan Belas sentiasa tegang dan bergolak. Pada mulanya, Kiyai Haji Salleh turut menyertai tentera Hei Ho Jepun. Tetapi dia kemudiannya berhenti. Dia turut menganggotai MPAJA untuk menentang Jepun, tetapi akhirnya dia menarik diri setelah mengetahui bahawa MPAJA sebenarnya menjadikan orang Melayu sebagai sasaran mereka. Lagi pula, adik lelakinya sendiri telah dibunuh oleh Cina Komunis, sehingga dia bertindak-balas dengan menjadi perompak dan pencuri. Pada mulanya, perkelahian antara kaum tercetus di Tanjung Sembrong pada bulan Mei 1945. Pada kejadian itu, sekumpulan anggota MPAJA telah menangkap dua orang Melayu di Parit Khalid, tetapi seorang daripadanya dapat melarikan diri ke rumah ketua kampung, Haji Talib yang merupakan anak murid kepada Haji Mokhtar, seorang guru tarekat. Hal ini mendorong Haji Mokhtar mengeluarkan fatwa jihad fi-sabilillah, dan seterusnya melancarkan gerakan menentang MPAJA dan juga orang-orang Cina di situ. Perkelahian ini segera merebak ke Simpang Kiri, hingga mendorong Penghulu Mohamad Kari menjemput Salleh agar memimpin orang-orang Melayu menentang kaum Cina. Khabarnya, ketika mula-mula menyusun gerakan penentangan itu, beliau menerima semacam seruan ghaib atau suara halus yang menuntutnya agar menentang golongan Bintang Tiga. Bahkan dituntutnya agar menggunakan ayat-ayat al-Quran yang tertentu, yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi orang-orang kafir, serta ayat-ayat yang digunakan di dalam Perang Sabil pada zaman para Khalifah dahulu. Pada bulan Jun 1945, Kiyai Haji Salleh yr membentuk gerakan tentera sabil "Selendang Merah" yang mengandungi barisan pimpinan bagi setiap kawasan yang meliputi seluruh Johor. Dengan terbentuknya pasukan Tentera Sabilillah yang disertai kira-kira sebanyak 200 orang ini, maka bermulalah siri serangan dan pembunuhan terhadap ahli-ahli Bintang Tiga. Gerakan sabilillah ini diilhamkan oleh tokoh-tokoh gerakan tarekat. Berkat amalan tawassul kepada pengasas Tarekat Qadiriyah; Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, mereka merasa seperti diberi kekuatan ghaib dan sakti dalam menghadapi musuh. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, Kiyai Haji Salleh mendakwa bahawa melalui pertolongan ghaib Syeikh Abdul Qadir, beliau dapat menewaskan musuhnya dengan mudah. Sebagai permulaan penentangan, tentera ini menyerang dan membunuh semua orang-orang Cina yang ditemui di Parit Sulong, dengan menggunakan senjata-senjata tradisional, seperti parang panjang, pedang dan keris. Sedangkan orang-orang Cina menggunakan senjata-senjata moden. Namun dengan keberanian dan kecekapan Tentera Sabilillah ini berjaya menumpaskan musuh-musuh mereka. Bersambung...
Kalami Lisani

Post a Comment

0 Comments

Ulasan