Ilmu Akhir Zaman



Renungan Bersama

Daripada Imam Abdullah bin al Mubarak r.a., telah meriwayatkannya di dalam kitab al-Zuhd dengan sanad beliau; daripada seorang lelaki (Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz r.a.: "Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w.."

Lalu berkata perawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) sehingga Muaz r.a. menangis sehingga aku menyangka ia tidak dapat berhenti. Tetapi akhirnya Muaz r.a. berhenti daripada tangisannya lalu Muaz r.a. berkata: "Aku mendengar Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku; 'Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis yang jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.

'Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan tujuh malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi. Kemudian, lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu-pintu langit itu.

'Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba yang dilakukannya mulai pagi hingga ke petang. Amalan tersebut mempunyai cahaya seakan cahaya matahari. Sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak. Lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu kepada malaikat Hafazhah:

"Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas."

'Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba melepasi langit pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak sehingga mereka sampai ke langit yang kedua. Lalu berkata malaikat penjaga langit kedua itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Kerana ia menghendaki dengan amalannya itu akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain itu, ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran."

'Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba yang penuh sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang, puasa. Malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takabbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takabbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai."

'Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujud dapat melintasiku. Ia beramal dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya."

'Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima. Seolah-olah amalan itu seperti pengantin yang dihantar ke rumah suaminya lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

"Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkuknya. Akulah malaikat hasad. Ia sangat hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia menghasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadah ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasad ini melintasi aku."

'Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan sseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

"Berhenti kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang ditimpa bala dan kesusahan. Bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku."

'Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba. Amalan itu ialah sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:

"Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir. Aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah, tetapi hanya agar mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku. Kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak."

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya;

"Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini. Dan sebenarnya, Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu."

'Lalu para malaikat tadi berkata:

"Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami." Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit malaikat dan seisinya.'

Mendengar sabda Rasulullah saw ini lalu Muaz r.a. menangis seraya berkata: "Engkau adalah Rasulullah s.a.w., sedangkan aku adalah Muaz. Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera?" Lalu Rasulullah saw bersabda:

"Hendaklah engkau mengikutiku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz jagalah lidahmu sebaik-baiknya daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran (ulama') dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atas dirimu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu dihadapan mereka. Dan jangan engkau campurkan urusan dunia dengan urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis, kelak orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia maka dicarik akan dikau oleh anjing-anjing dari api nereka pada hari kiamat nanti. Allah telah berfirman:

"Demi yang mencarik akan dicarikkan." -Q.S.: an-Nazi’at-2

"Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang mencarik itu?" Muaz r.a. lalu bertanya: "Ya Rasulullah, sebenarnya siapakah mereka?"

Lalu Nabi s.a.w. menjawab: "Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang."

Muaz r.a bertanya: "Ya Rasulullah, siapakah orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?" Nabi s.a.w. menjawab: "Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah."

Kemudian Khalid bin Maadan berkata: "Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca al-Quranul Karim lebih daripada Muaz r.a. kerana beliau faham terhadap hadis yang besar ini."

al-Faqir ilallah:
Kalami Lisani


Kalami Lisani

Post a Comment

0 Comments

Ulasan