Ilmu Akhir Zaman



LELAKI DITAHAN BERSAMA HEROIN DAN PIL KUDA BERNILAI RM 200,000

Setiu, 28 Jan- Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas bersama-sama 131 botol serbuk putih disyaki heroin dan 4,000 biji pil kuda bernilai kira-kira RM200,000. 

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamad berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Kampung Nyatoh di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Katanya polis terpaksa mengejar suspek sejauh lima kilometer sebelum suspek memberhentikan kereta di tepi jalan dan melarikan diri bersama bungkusan yang mengandungi dadah.

"Ketika melakukan rondaan di Kampung Saujana kita berjaya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan kita cuba menahan namun suspek enggan berhenti dan terus memecut keretanya.

"Ekoran daripada itu kita mengekori sebelum suspek memberhentikan kenderaan dan melarikan diri berhampiran sungai dan membuang bungkusan itu di pinggir jalan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ab Rahman berkata bagi mengelakkan diri daripada ditahan, suspek yang baru dua tahun dibebaskan daripada menjalani hukuman Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) di Kelantan menyembunyikan diri di dalam lopak air namun berjaya dikesan polis.

Hasil pemeriksaan beg plastik berkenaan, polis menemui 131 botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 601.89 gram dan pil kuda seberat 404.259 gram, katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran untuk edaran di sekitar daerah ini dan sedang mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah itu.

"Siasatan awal kita dapati kenderaan yang digunakan merupakan kereta sewa dan kita juga tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek dalam perjalanan untuk menghantar bekalan tersebut kepada pelanggan," katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati bapa seorang anak itu negatif daripada dadah dan suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan.- BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan