Penyamun dua sejoli

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pelanggan menjadi taktik digunakan sepasang kekasih berusia 20-an yang dikesan menyasarkan kedai serbaneka 24 jam sekitar Lembah Klang, sejak tiga bulan lalu.

Harian Metro difahamkan, pasangan kekasih yang bersenjatakan parang itu akan aktif antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Sehingga kini, lebih lima kedai berkenaan di beberapa daerah seperti Sentul, Dang Wangi dan Cheras dilaporkan sudah menjadi mangsa kepada kelicikan pasangan terbabit.

Dalam kejadian terbaru yang dilaporkan berlaku di Jinjang, di sini, kira-kira jam 5 pagi kelmarin, kedai serbaneka 24 jam itu kerugian lebih RM1,000.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, ketika kejadian dua pekerja premis berkenaan berusia 29 tahun sedang bekerja.

“Mereka kemudian didatangi seorang wanita mendakwa mahu membeli kad tambah nilai.

Tanpa curiga, seorang daripada pekerja memberikan apa yang diminta wanita terbabit.

“Lima minit kemudian, seorang lelaki dipercayai kekasih kepada wanita terbabit yang bersenjatakan parang meluru masuk,” katanya.

Sumber itu berkata, wanita itu kemudian merampas wang tunai, rokok, kad tambah nilai dan minuman dianggarkan bernilai lebih RM1,000 sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

Sehubungan itu, pekerja kedai serbaneka 24 jam itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kepong, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam kejadian itu, tiada kecederaan dilaporkan.

Katanya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati pasangan kekasih yang aktif sejak tiga bulan lalu sering menyamun kedai serbaneka 24 jam di ibu kota.

“Antara kawasan mereka seperti Cheras, Sentul dan Dang Wangi.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya lima premis sudah menjadi mangsa kepada pasangan kekasih itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.


SUMBER FB VAT69

Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan