GEJALA MENGHIDU GAM DI SARAWAK MEMBIMBANGKAN

KUCHING: Sarawak dikatakan masih rendah dan selamat dari segi kemasukan dadah tetapi kebimbangan pula diletakkan terhadap gejala menghidu gam di kalangan masyarakat negeri ini.
Justeru, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan trend berkenaan (menghidu gam) adalah amat menyedihkan.
“Menghidu gam adalah seperti mengambil dadah sintetik di mana ia boleh membinasakan otak dan kesannya juga adalah lebih buruk daripada pengambilan dadah jenis heroin atau morfin.
“Berdasarkan maklumat daripada polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), trend ini telah menjadi masalah di Sarawak dan maka itu, ibu bapa serta guru harus memainkan peranan yang besar dalam menangani gejala ini daripada terus berleluasa dalam kalangan anak-anak.
“Sekiranya terdapat anak-anak yang terlibat dengan penghiduan gam, segera bawa mereka ke AADK untuk pemulihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival 1 KDN (Kementerian Dalam Negeri) di sini, semalam.
Menjelaskan mengenai kemasukan dadah ke Sarawak, Wan Junaidi berkata ia tidak dalam keadaan yang amat membimbangkan berbanding dengan Semenanjung Malaysia.
“Sarawak mempunyai penghalang bagi kemasukan dadah iaitu dari sebelah selatan di mana Indonesia masih mempunyai kawasan hutan yang luas dan berbukit bukau sekali gus menjadikan laluan kemasukan untuk penyeludupan dadah adalah sukar.
“Selain itu ialah di sebelah utara (Brunei) dan Laut Cina Selatan di mana ia menjadi penapis bagi kemasukan dadah ke Sarawak.
“Tetapi kami juga tidak boleh menafikan berlakunya kemasukan dadah ke Sarawak tetapi kami akan memastikan ia dikawal dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi turut mendedahkan bahawa hampir 50 peratus daripada nisbah banduan di negara ini pada masa sekarang adalah berkaitan jenayah dadah.
“Dadah telah menjadi satu gejala yang amat buruk melanda negara walaupun banyak kejayaan besar telah direkodkan terhadap tangkapan dan rampasan dadah di seluruh negara.
“Justeru, apabila undang-undang pencegah jenayah dadah dilaksanakan di seluruh negara nanti, kita akan menggunakan instrumen undang-undang ini untuk membolehkan polis mengambil tindakan yang lebih berkesan lagi terhadap pengedar, penjual dan pengimport dadah.
“Kalau kita boleh turunkan penglibatan masyarakat dengan dadah, ia akan mengurangkan orang yang masuk ke penjara dan kesannya amat besar,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menjelaskan bahawa walaupun Malaysia bukan negara pengeluar dadah, ia telah dilihat sebagai transit kepada dadah.
Ekoran itu, katanya banyak tangkapan telah dilakukan oleh kastam dan polis terutama di lapangan terbang besar seperti di KLIA di mana ia digunakan sebagai transit untuk menyeludup dadah ke negara lain.
Selain dadah, Wan Junaidi berkata perhatian turut diberikan terhadap penggunaan daun ketum di Semenanjung Malaysia kerana ia juga amat membimbangkan.

Sumber:Utusan Borneo


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan