SHARING IS CARING: Keselamatan Penunggang Motosikal

PENAFIAN : Komuniti PTT Zello, Channel : Rakan COPS PDRM adalah komuniti bebas dan tidak ada kena mengena dengan pengurusan pihak www.RakanCop.net. Harapan kami hanyalah, semoga segala kemudahan interaksi digital / komunikasi dua-hala terkini ( www.zello.com ) mampu menzahirkan sesuatu demi kebaikan bersama. Insya-ALLAH

TUKARKAN HURUF KEPADA PERKATAAN - KOD ALPHA

Kebanyakan pengguna jalan raya di Malaysia gemar menggunakan motosikal sebagai kenderaan alternatif bagi mengelak daripada kesesakan lalu lintas sekaligus mengurangkan penggunaan masa di atas jalan raya.

Walau bagaimanapun, penunggang motosikal harus sedar bahawa mereka lebih terdedah kepada bahaya berbanding pengguna kenderaan yang lain. Berikut disediakan beberapa tips keselamatan bagi penunggang motorsikal.

1. Memakai Topi Keledar

Perkara penting untuk anda selamat berada di jalan raya adalah dengan memakai topi keledar. Topi keledar melindungi kepala, dan kecederaan kepala adalah antara punca utama kematian yang melibatkan penunggang motosikal di negara ini.

Tentunya memakai topi keledar sahaja tidak mencukupi. Anda perlu memastikan ianya selamat. Dapatkan topi keledar yang telah diiktiraf keselamatannya oleh SIRIM atau badan keselamatan luar negara kerana ia akan diuji dan dipastikan standard keselamatan sebelum dipasarkan.

Pastikan juga topi keledar itu bersesuaian dengan kepala anda. Jangan terlalu ketat ataupun terlalu longgar. Untuk lebih selamat, gunakan topi keledar bermuka penuh (full-face helmet) kerana ia boleh melindungi keseluruhan kepala dan muka.

2. Peraturan ‘Lihat Dua Kali’

Tip ini lebih kepada pemandu kenderaan berbanding penunggang motosikal. Pastikan anda sentiasa peka dan kesan kedudukan penunggang motosikal ketika anda memandu. Oleh itu, setiap kali anda ingin menukar laluan, beri isyarat, lihat cermin sisi sekurang-kurangnya dua kali dan sentiasa periksa titik buta kerana penunggang motosikal adalah kecil dan sukar untuk dilihat.

Kecuaian pemandu terlepas pandang boleh menyebabkan perlanggaran yang sering membawa kecederaan yang teruk kepada penunggang motosikal.

Bagi penunggang motosikal pula, melihat dua kali juga merupakan peraturan yang baik untuk diikuti. Jangan sekali-kali menganggap bahawa pemandu sentiasa dapat melihat anda. Tunggang dengan cermat dan ambil tanggungjawab untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di tengah-tengah kenderaan lain.

3. Didik Pembonceng

Pembonceng motosikal juga memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya. Mereka perlu tahu untuk tidak mengalih perhatian penunggang dan tidak mudah panik apabila penunggang terpaksa membuat pusingan atau berhenti sekiranya berlaku kecemasan atau sebagainya.

Berat badan juga boleh mengubah keseimbangan dalam kawalan tunggangan. Sekiranya pembonceng anda mempunyai berat badan yang lebih, pastikan anda boleh menyesuaikan diri untuk mengawal motorsikal dengan cekap.

Pembonceng juga perlu memastikan bahawa pakaian yang dipakai ketika membonceng adalah sesuai dan selamat.

4. Teliti Cuaca

Memandangkan motosikal kurang stabil berbanding kenderaan lain, menunggang di dalam hujan atau berjerebu adalah lebih berisiko. Dengan hanya dua roda, motosikal anda hanya mempunyai separuh daripada daya tarikan kereta. Daya penglihatan anda juga menjadi lebih terhad.

Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan, periksa dahulu keadaan cuaca. Jika hujan lebat diramalkan akan turun, gunakan kenderaan lain yang lebih selamat untuk bergerak. Jika anda benar-benar perlu menunggang di dalam hujan, pakai pakaian hujan yang berwarna terang.

Tunggang dengan perlahan dan jarakkan ruang antara kenderaan lain. Jika cuaca semakin buruk, berhenti di tempat yang selamat dan tunggu sehingga ia reda.

5: Tinggalkan Jarak Yang Mencukupi

Apabila menunggang, adalah penting untuk mengekalkan jarak yang selamat antara kenderaan lain, terutama apabila menunggang pada kelajuan tinggi di lebuh raya. Ini adalah penting untuk memberi penunggang masa yang mencukupi untuk membrek jika perlu.

Kelajuan yang lebih tinggi memerlukan lebih banyak masa berhenti (brek) dengan sepenuhnya.

6. Tunggang Dalam Lingkungan Kemahiran

Menunggang motosikal adalah satu kemahiran, dan seperti kemahiran-kemahiran yang lain, ia memerlukan latihan untuk anda menjadi penunggang yang lebih cekap.

Untuk selamat, pastikan anda sentiasa memperbaiki kemahiran penunggangan anda. Ambil masa untuk membina kemahiran tersebut dan tunggang dalam keadaan anda tahu pada tahap mana kemahiran anda sekarang dengan selamat dan terkawal.


sumber FB PDRM




Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan