Ilmu Akhir Zaman



LIMA LELAKI DITAHAN KETIKA SEDANG SAMUN RUMAH SEORANG KONTRAKTOR

Johor Bahru, 29 April (Bernama) - Kepantasan dua anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan empat anggota polis peronda (MPV) telah dapat menahan lima lelaki yang sedang menyamun rumah seorang kontraktor di Bandar Selesa Jaya, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata kelima-lima lelaki berumur 22 hingga 35 tahun dan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes samun di sekitar Nusajaya itu ditahan sejurus selepas polis menerima laporan orang awam berhubung kejadian itu pada 8.40 malam.

"Kedua-dua anggota URB bertindak menghala ke rumah berkenaan atas maklumat awam itu dan menemui sebuah kereta Perodua Kancil di hadapan rumah terbabit dengan keadaan pintu pagar dan pintu rumah yang terbuka.

"Mereka kemudian melihat kontraktor berumur 36 tahun dengan tangan diikat dan isterinya yang berumur 30 tahun dengan mulut bertampal pita pelekat keluar secara tiba-tiba dari rumah itu lalu memaklumkan kepada polis bahawa mereka disamun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Hashim berkata kedua-dua anggota URB terbabit terus meminta bantuan unit MPV dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Nusajaya sebelum kesemua mereka memasuki rumah itu lalu menahan kelima-lima suspek terbabit.

Beliau berkata kelima-lima suspek memakai topeng muka, sarung tangan dan bersenjatakan dua parang.

Polis turut merampas tiga botol minuman keras, beberapa jam tangan, beberapa telefon bimbit, wang tunai dolar Amerika US$407, dolar Singapura SG$63 berserta RM430 daripada mereka.

Katanya seorang daripada mereka memiliki tiga rekod berkaitan curi dan kesemua mereka yang berasal dari utara itu kini direman sehingga 4 Mei depan.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata polis menyelesaikan lima kes pecah rumah selepas menahan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di kawasan Bukit Indah, di sini awal hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mereka yang berumur 17 dan 25 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi tadi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan polis peronda.

"Pemeriksaan ke atas mereka menemui beberapa peralatan untuk pecah rumah termasuk pemulas skru dan kedua-duanya yang dipercayai terlibat dengan jenayah itu sejak dua bulan lepas kini ditahan reman sehingga Jumaat ini," katanya. - BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan