السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
TAZKIRAH HARI INI ( Khamis, 24 Jdl. Akhir 1435H )
Pernahkah kita mendengar orang yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak ada di mana-mana atau ada di mana-mana, mengingkari bahawa Allah di atas Arsy, menolak semua sifat Allah, mengingkari takdir, Al-Qur’an adalah mahluk dan sebagainya lagi. Ketahuilah, itu adalah sisa-sisa kesesatan dari fahaman Jahmiyyah. Ramai yang tidak sedar bahawa dirinya mungkin kena virus fahaman Jahmiyah ini.
PENCERAHAN :
Imam Abu Uthman bin Sa’id Ad-Darimi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, Adz-Dzahabi pun tidak lepas dari tuduhan musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk) / mujassimah oleh Jahmiyah. Bahkan imam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang empat pun tidak terlepas dari tuduhan tersebut. Abu Hatim Ar-Razi mengatakan ; “Dan tanda Jahmiyyah adalah menggelar Ahli Sunnah dengan musyabbihah." (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah, 1/204)
Jahm bin Shafwan dianggap penyebar kesesatan ini dengan menghimpun tiga kebid'ahan yang sangat buruk dan berbahaya di samping beberapa bid’ah yang lain;
1) Bid’ah Ya’thil iaitu penolakan semua sifat-sifat Allah dan bahawa Allah tidak boleh disifatkan dengan sifat apa pun, kerana pemberian sifat tertentu seperti penyerupaan dengan makhluk-Nya.
2) Bid’ah Jabr (Jabariah) iaitu pernyataan bahawa menusia tidak mempunyai kemampuan dan daya upaya sama sekali bahkan semua kehendaknya muncul dalam keadaan dipaksa oleh kehendak Allah semata-mata.
3) Bid’ah Irja’ bahawa iman cukup hanya dengan ma’rifat, barang siapa yang ingkar di lisan maka hal tersebut tidak menjadikan seseorang itu kafir sebab ilmu dan ma’rifat tidak akan lenyap kerana keingkaran seseorang. Iman dan kufur hanya dalam hati tidak dalam perbuatan.
Asy-Syaikh Abdul Qader Al-Jilaani rahimahullah dalam menjelaskan tentang kesesatan Jahmiyah antaranya;
1. Al-Qur’an adalah makhluk.
2. Allah ta’ala tidak pernah berfirman (bersifat Kalam)
3. Allah tidak mempunyai tempat tertentu.
4. Mengingkari azab kubur.
5. Penduduk syurga tidak akan melihat Allah.
Ulama Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah bersependapat Jahmiyah sesat, bahkan ada yang mengkafirkannya. Malah ramai ulama dari dulu hingga sekarang yang membuat bantahan terhadap Jahmiyyah.
Diantaranya kitab “Ar-Radd ‘ala Jahmiyyah” (Bantahan Terhadap Jahmiyyah) seperti yang ditulis oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Uthman bin Sa’id Ad-Darimi, Ibnu Mandah, Ibnu Baththah dan lain-lain. Antara pandangan mereka ialah;
1. Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata: “Pertempuran antara ahli hadis dengan kelompok Jahmiyyah lebih dahsyat daripada pertempuran antara pasukan kafir dengan pasukan Islam."
2. Imam Syafi'e berkata terhadap Hafsh al Fard yang ketika mengatakan bahawa al Qur’an itu makhluk maka Syafi'e berkata, “Engkau telah kafir terhadap Allah."
3. Sufyan As-Tsauri mengatakan, Al-Quran kalamullah, barang siapa mengatakan ia makhluk maka sungguh kafir dan barang siapa ragu akan kekafirannya maka ia kafir (juga).
Berkata Imam al-Barbahari;
“Ketahuilah para ulama Sunnah senantiasa memberi peringatan keras terhadap bahaya Jahmiyyah hingga muncul kelompok Ruwaibidhah (orang yang cetek ilmunya) berbicara mengenal hal agama sehingga mereka dengan beraninya mempersoalkan atsar Nabi dan mengutamakan qiyas dan ra’yu (pandangan) lalu mengkafirkan setiap orang yang dianggap menyelisihi pendapatnya. Wal 'iyazubillah...
KESIMPULAN :
Masalah Jahmiyyah dalam masalah tauhid adalah menolak sifat-sifat Allah. Sedangkan mereka dalam masalah takdir adalah menganut fahaman Jabariah. Jabariah menganggap bahawa manusia adalah makhluk yang terpaksa dan tidak memiliki pilihan dalam mengerjakan kebaikan atau keburukan. Maka berhati-hatilah dan berdoa agar kita selamat dari akidah yang sesat seperti ini.
Wallahu a'lam -
Sumber : Cuit-cuit Ust Kay.
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.