Ilmu Akhir Zaman



Mari Sertai Kami Di Dalam Perniagaan Yang Selalu Untung Tiada Rugi


Dengan nama Allah, yang mengajar hambaNya dengan kalam. Segala puji dan puja bagiNya; Tuhan setiap makhluk, sekalian alam. Semoga terlimpah selawat serta salam bagi utusan pembawa rahmat setiap umat; Muhammad s.a.w.. Semoga dicucuri rahmat dan keselamatan bagi keluarga Baginda, sahabat-sahabat, pengikut-pengikut sahabat, juga mereka yang menuruti mereka itu sehingga akhirnya kita bertemu di Telaga Haudh.

Rakan pengunjung yang dirahmati Allah...

Seringkali, terlalu asyik kita ini berbicara tentang perniagaan yang mendatangkan keuntungan bagi kita. Yang mana keuntungan itu demi menampung sara kehidupan yang kian melambung tinggi. Sehingga ada di antara kita yang sanggup ber'sengkang-mata' menjalankan dua atau lebih aktiviti perniagaan, di samping kerja/tugas yang sedia tergalas di bahu masing-masing. Seolah tiada kenal penat-lelah, jerih-payah yang dilalui sehari-hari. Semua sekadar memenuhi tuntutan 'esok' yang entahkan hidup, entahkan mati. Walaupun terkadang perniagaan itu belum tentu untung, selalunya rugi. Namun, itu semua tidak mengajar kita untuk berhenti.

Allahu Allah...



Begitu besarnya pengorbanan kita demi menempuh hidup dan kehidupan di dunia ini. Dengan kudrat, daya 'tulang empat-kerat' yang dipinjamkan Allah kepada kita ini, dimanfaatkan sepenuhnya tanpa ada sedikitpun pembaziran yang tersisa.

(مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ) (أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ)  Q.S. 11:15-16

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka. Dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." Q.S. Hud 15-16

Namun, seringkali kita terlupa akan 'amaran' Allah yang 'keras' kepada hambaNya seperti yang dinyatakan di dalam petikan ayat al-Quran di atas. Dan seringkali juga kita mengabaikannya, memandang enteng, seolah amaran tersebut tiada apa kesannya. Wa na'udzubillah...

Justeru, Allah ta'ala menawarkan jalan perniagaan yang amat menguntungkan dan dijamin tiada kos yang tersembunyi. Malah, dijamin tiada kerugian bagi mereka yang mahu berurusniaga denganNya.

Allah menyifatkan segala amal dan ibadat yang dilakukan oleh hambaNya itu, selain tiada mengharapkan apapun melainkan redhaNya sebagai 'tijarah' yang bermaksud perniagaan. Dan buah-hasilnya pula, Allah menjanjikan syurga bagi mereka yang berurusniaga denganNya.

Ini menunjukkan bahawa orang yang menyibukkan diri dengan hal tersebut (amal ibadat) bererti dia telah menjalankan 'perniagaan' dengan Allah ta’ala, sebagaimana orang yang mengambil bahagian terbesar dari perniagaan tersebut maka dialah yang paling berpeluang mendapatkan keuntungan yang besar.

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيم تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ)  Q.S. 61:10-12

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah engkau Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn, itulah kemenangan yang besar." Q.S. Shaff 10-12

Imam asy-Syaukani di dalam kitabnya 'Fathul Qadiir' (5/311) berkata; "Allah menjadikan amalan-amalan (sholeh) tersebut sama kedudukannya seperti 'perniagaan'. Kerana orang-orang yang melakukannya akan meraih keuntungan (besar) sebagaimana mereka meraih keuntungan dalam perniagaan (duniawi). Keuntungan (besar) itu adalah masuknya mereka ke dalam syurga dan selamatnya mereka dari (seksa) neraka."

Maka inilah 'perniagaan' yang paling agung. Kerana ia menghasilkan keuntungan yang paling besar dan kekal abadi buat selamanya. Inilah 'perniagaan' yang dengannya akan diraih semua harapan kebaikan dan terhindar dari semua keburukan yang ditakuti. Inilah perniagaan yang jelas lebih mulia dan lebih besar keuntungannya daripada perdagangan duniawi yang dikejar oleh majoriti masyarakat manusia. (Lihat kitab 'Tafsir Ibnu Katsir', 4/463)

Jadi, dengan kerendahan hati dan diri ini, penulis menyeru diri ini juga rakan pengunjung lainnya agar melibatkan diri di dalam perniagan ini. Penulis bukanlah berkhutbah. Cuma memperbetulkan diri ini jua.

Wassalamu'alaikum warahmatullah...

- Kalaamiy, Lisaaniy -

Post a Comment

0 Comments

Ulasan