5 warga Filipina miliki MyKad palsu dipenjara

MELAKA 13 Jan. - Lima warga Filipina termasuk dua wanita masing-masing dihukum penjara antara tiga dan lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu, minggu lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Gabriel Samad, 28, Faizal Sali, 39, Julakmad Alih, 24, Norimah Abdullah, 36, dan Faridah Saluan, 48, kesemuanya berasal dari Mindanao.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan palsu mengandungi butir maklumat orang lain di sebuah rumah di Jalan Tangga Batu di sini pada pukul 3 pagi, 8 Januari lalu.

Hasil semakan rekod serta perbandingan cap jari semua kad pengenalan yang dimiliki tertuduh didapati bukan milik mereka.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam bela meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka atas pelbagai alasan termasuk atas faktor keluarga.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohamad Nazer Mahmood yang mengendalikan pendakwaan memohon tertuduh-tertuduh dipenjara dan bukannya didenda.

"Jika semua tertuduh dipenjarakan, Jabatan Imigresen boleh mengambil tindakan melakukan pengusiran terhadap mereka setelah dibebaskan kelak," katanya.

Mohd. Firdaus kemudian memerintahkan Gabriel dan Julakmad dipenjara lima bulan, Faizal dan Norimah penjara empat bulan, manakala Faridah penjara tiga bulan, kesemuanya bermula dari tarikh tangkap pada 8 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, Jabatan Imigresen negeri bersama Jabatan Pendaftaran Negara telah melakukan Ops Bersepadu pada hari tangkapan dan mendapati kelima-lima tertuduh memiliki kad pengenalan palsu milik orang lain semasa pemeriksaan dijalankan


SUMBER - FACEBOOK VAT69

Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan