5,000 LITER MINYAK BERSUBSIDI DI TAWAU DAN SEMPORNA DIRAMPAS

Tawau, 23 Jan - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 5,000
liter minyak bersubsidi dalam dua operasi berasingan di perairan Tawau dan Semporna dalam tempoh dua hari sejak Selasa lepas.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Isa Munir berkata 3,800 liter daripada minyak itu adalah diesel yang dirampas oleh PPM Tawau dalam operasi kira-kira pukul 7.30 pagi di perairan Sabindo di sini pada Selasa.

"Manakala selebihnya sebanyak 1,200 liter ialah minyak petrol yang dirampas oleh PPM Semporna dalam operasi kira-kira pukul 1 petang di perairan Pulau Larapan, Semporna semalam.

"Dalam operasi di perairan Pulau Larapan Semporna itu, pihak kami turut merampas sebuah bot laju dan dua enjin sangkut, namun kami gagal menahan pemilik bot berkenaan.

"Manakala dalam operasi di kawasan perairan Sabindo pula kami turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 35 tahun serta sebuah bot yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati minyak berkenaan dibeli di sekitar Semporna dan Tawau dan cuba diseludup keluar untuk dijual di negara jiran.

Menurut Isa, nilai kesemua rampasan termasuk bot ialah kira-kira RM121,000.

"Untuk mengatasi penyeludupan seperti ini, kita berharap orang awam terus memberikan maklumat dan kami akan memberi tindak balas pantas setiap maklumat yang diterima," katanya. - BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan