PEMILIK FARMASI DITAHAN BANTU SIASATAN KES ROMPAK KEDAI SERBANEKA

Kota Bharu, 15 Jan - Seorang pemilik kedai farmasi ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan menggunakan senjata api jenis M16 di sebuah kedai serbaneka di bandar Tanah Merah Disember lepas.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan susulan serbuan di sebuah rumah di Wakaf Baharu, Tumpat Isnin lepas, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata turut ditahan isteri lelaki itu, juga berusia 52 tahun, dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Polis turut merampas dua laras 'pump gun', satu daripadanya jenis semi-automatik berharga RM16,000, sepucuk pistol tiruan dan lebih 1,000 butir peluru.

"Lelaki itu merupakan anggota kelab menembak serta mempunyai lesen memiliki senjata api yang sah yang membenarkannya menyimpan 200 butir peluru sahaja.
Bagaimanapun peluru yang disimpan melebihi had yang dibenarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jalaluddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

"Lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam," kata Jalaluddin sambil memberitahu wanita dan remaja itu direman dua hari bagi membantu siasatan.

Berikutan itu, beliau berkata polis Kelantan akan menyiasat latar belakang semua pemilik senjata api berlesen di negeri ini bagi mengelak kejadian berulang.

Dalam kejadian 30 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras senjata api jenis M16 kira-kira setengah jam selepas suspek merompak kedai itu. - BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan