TANAH RUNTUH: JALAN TAMPARULI-KIULU DITUTUP KEPADA SEMUA KENDERAAN

Kota Kinabalu, 15 Jan - Laluan Jalan Tamparuli-Kiulu ditutup
kepada semua jenis kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh akibat mendapan jalan di kilometer 61, laluan itu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Tuaran DSP Abdul Fuad Abdul Malik berkata dalam kejadian pada pukul 12.05 pagi itu, jalan berkenaan terputus hubungan sejauh antara 40 dan 50 meter.

Katanya, kira-kira 45 buah kampung di sekitarnya terputus hubungan akibat kejadian mendapan di jalan berkenaan dan semua pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Lawamandou-Telipuk untuk ke destinasi
masing-masing.

"Jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan. Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja membaik pulih jalan berkenaan mungkin mengambil sedikit masa dan kejadian dipercayai akibat hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Abdul Fuad turut menasihatkan pengguna yang memilih laluan alternatif supaya lebih berhati-hati memandangkan jalan berkenaan tidak berturap dan hanya sesuai dilalui kenderaan pacuan empat roda. - BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Post a Comment

0 Comments

Ulasan