Kuala Lumpur, 23 April - Polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 34 tahun yang disyaki membunuh rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah rumah di Abdullah Hukum, Brickfields, di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata suspek ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan daripada seorang rakan mangsa pada 10.30 pagi.
"Hasil siasatan mendapati suspek datang ke rumah mangsa yang berusia 30 tahun dan berlaku pertelingkahan. Suspek dilapor mendakwa mangsa seorang pengkhianat sebelum menikamnya," kata Khairi dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurutnya ketika kejadian, mangsa berada di rumah itu bersama-sama seorang rakan serumah.
Khairi berkata suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk tiga kes dadah dan satu menurut Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Katanya selain menyiasat motif kejadian, polis juga menyiasat bagaimana suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau boleh bekerja di syarikat kawalan keselamatan itu.
Mengulas kes lain, Khairi berkata polis sedang memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin, Jinjang pada 12 April lalu.
Mereka ialah Elengovan Vello, 28, alamat terakhir di Blok 60-09-08 Flat Sri Sabah, Jalan Ikan Ayu; Moganraj Balarajan, 22, beralamat terakhir di Blok A-3-17, PPR Taman Wahyu 1 Taman Beringin, serta adik-beradik Vickneswaran Batumalai, 23, dan Ruban Batumalai, 26, alamat terakhir di Blok A-10-11, PPR Taman Wahyu 1, Taman Beringin, Jinjang Utara.
Dalam kejadian itu, R. Sathaya Devan, 23, meninggal dunia di Hospital Selayang akibat kecederaan parah di tangan selain cedera di kepala dan lutut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
- BERNAMA
Komuniti PTT Zello, Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "
Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.