Saya membaca dengan teliti komen pengguna media sosial terhadap kejayaan PDRM menangkap 12 lelaki yang disyaki sedang merancang meletupkan beberapa kawasan strategik termasuk Putrajaya dalam siri serbuan di kaki Gunung Nuang semalam.
Ramai yang menyindir, memperleceh malah tak kurang juga yang menuduh pihak Special Branch (SB) melalui unit elit mereka di Bahagian Counter Terrorism hanya mengada-adakan cerita untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu semasa ketika ini.
Saya hanya mampu bersimpati terhadap mereka yang berfikiran demikian. Pengalaman saya yang lebih 10 tahun bertugas sebagai wartawan jenayah dulu sudah cukup membuatkan saya 'gerun' dan 'takut' dengan mereka yang berfikiran sempit sebegini. Ini kerana mereka tidak sedar akan bahaya yang boleh berlaku jika pihak SB gagal bertindak awal seperti mana operasi semalam.
Kalau anda lupa, saya nak imbas satu peristiwa pada 18 Mei 2001 di Southern Bank Petaling Jaya. Segala-galanya bermula pada tarikh itu apabila pengawal keselamatan bank tersebut, Abdullah Mahmood berjaya menggagalkan cubaan rompakan di bank itu dengan menembak mati salah seorang daripada empat perompak. Dua parah dan salah seorang yang parah mati seminggu kemudian.
Anda nak tahu siapa antara perompak yang ditembak itu - saya ingat lagi namanya sampai sekarang. Dia adalah Adnan Mohd Daud, seorang graduan kejuruteraan dari University Texas, USA. Rakan keempat yang menunggu di luar bank tersebut berjaya melarikan diri tetapi dapat ditangkap di rumah keluarganya di Temerloh beberapa hari kemudian. Rupanya mereka menganggap rompakan itu 'halal' kerana tujuan mereka semata-mata untuk mengumpul dana bagi tujuan 'jihad'!
--------------------
Dalam sebuah rencana tulisan Baharom Mahussin, maklumat Bukit Aman menunjukkan Adnan sendiri merupakan orang yang disyaki turut terlibat dalam pembunuhan ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Joe Fernandez pada 4 November 2000.
" Ahli politik beragama Kristian itu dibunuh di dalam keretanya di satu simpang oleh lelaki bermotosikal yang bersenjatakan pistol. Lelaki itu melepaskan tiga das tembakan di kepala dan badan Joe Fernandez. Kematian Adnan dan penangkapan rakan-rakannya telah membongkar kewujudan sebuah pertubuhan pengganas Islam yang dipanggil Kumpulan Militan Mujahidin Malaysia (KMM).
" Dua minggu selepas kes di Southern Bank itu, polis mengumumkan kumpulan itu mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan pengganas antarabangsa. Ahli-ahli kumpulan itu yang aktif menjual minyak wangi dari Timur Tengah mengambil kesempatan daripada urusan mengimport haruman tersebut untuk berhubung dengan pertubuhan pengganas antarabangsa.
" Siasatan polis menjumpai selaras raifal automatik M16, sejumlah besar bahan letupan, peluru dan pelbagai peralatan tentera serta bahan kimia di sebuah rumah di kawasan Puchong, Selangor. "
------------------------------
Saya menjadi saksi kerana antara wartawan yang terlibat membuat liputan pasca operasi tersebut.
Tolonglah, kita boleh bergaduh pasal GST, boleh berbeza pendapat mengenai KWSP atau apa saja isu yang membelenggu kehidupan kita tetap tolong jangan sama-sekali bertolak ansur dengan KESELAMATAN NEGARA. Jangan dah terhantuk baru nak tergadah, andai itu dah terjadi, semuanya tidak lagi membawa sebarang erti.
Adakah kita nak tunggu apa yang terjadi di Lahad Datu kembali berulang di Kuala Lumpur atau Putrajaya baru kita nak bertindak?
Terserahlah...anda boleh menafikan atau turut sama memperlecehkan tulisan ini tapi ingat, Allah beri kita akal untuk berfikir dan bukannya untuk mengagungkan sentimen dan persepsi. Bom dan peluru tak bermata saudaraku,
Nauzubillah!
#copyandpaste
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.