Dalam serangan berikutnya di Parit Jawa, Tentera Sabilillah ini menghadapi kegagalan. Namun, kegagalan tersebut bukan berpunca daripada kelemahan mereka, tetapi kerana tindakan Kiyai Haji Mashudi yang lebih dahulu menyerang tanpa berpakat dengan ketua-ketua dari kawasan lain. Apabila orang-orang Cina kelihatan semakin galak, lalu Tentera Sabilillah bertindak dengan membunuh semua orang Cina yang terdapat di Batu Pahat dan Muar. Bahkan, mereka bercadang untuk menyerang Parit Jawa sekali lagi. Kerana bimbangkan akibatnya nanti, masyarakat Cina menemui Dato' Onn Jaafar yang ketika itu menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat, agar bertindak menghentikannya. Atas nasihat Dato' Onn yang telah menemui Kiyai Haji Salleh, akhirnya pertempuran ini berjaya dihentikan.
Setelah suasana agak aman dan tenteram, Dato' Onn membawa Kiyai Haji Salleh mengadap Sultan Ibrahim. Baginda tuanku telah berkenan menganugerahkan gelaran Panglima kepada Haji Salleh bin Abdul Karim juga sejumlah wang dan persalinan kepadanya. Pada 26 Disember 1945, Panglima Haji Salleh telah dilantik menjadi Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat, menggantikan Penghulu Kari bin Mohamad Saat yang telah kembalike rahmatullah pada 28 Mei 1945.
Semasa menjadi penghulu, Panglima Haji Salleh menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Sebagai seorang penghulu, beliau berhubung rapat dengan Dato' Onn dan turut sama bergiat memimpin orang Melayu menentang gagasan Malayan Union. Pada pukul dua petang, hari Khamis, 3 Januari 1946, bertempat di Masjid Jamek Batu Pahat, tertubuhlah sebuah kesatuan Melayu yang diberi nama "Pergerakan Melayu Semenanjung".
Kesatuan ini bertujuan untuk menggerakkan seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu menentang Malayan Union. Di dalam perjumpaan tersebut, Panglima Haji Salleh terpilih sebagai salah seorang daripada 37 orang Ahli Jawatankuasa Pergerakan Melayu Semenanjung, Batu Pahat. Sebagai seorang penghulu, beliau membawa banyak kemajuan di kawasannya (Mukim Empat). Penglima Haji Salleh banyak memberikan kesedaran kepada anak-anak buahnya tentang betapa pentingnya pelajaran. Beberapa buah sekolah telah dibina atas daya usahanya dan penduduk kampung telah memberikan kerjasama dengan cara mengumpulkan derma. Sekolah Seri Laksamana, Sekolah Seri Chomel dan Seri Cantik. Beliau sendiri telah mendermakan sebidang tanah untuk dijadikan tapak dan kawasan Sekolah Seri Laksamana. Panglima Haji Salleh telah dikurniakan Pingat Ibrahim Sultan II (P.I.S.II) pada 7 September 1955.
Panglima Haji Salleh telah mencapai kejayaan dalam hidupnya setelah melalui liku-liku hidup dengan tabah dan sabar. Dari seorang yang mempunyai sejarah awal yang begitu hitam, kemudian menjadi pemimpin Melayu ketika menentang komunis, menjadi penghulu dan akhirnya diberi gelaran Kiyai Salleh sekembalinya dari Tanah Haram pada tahun 1947. Semenjak itu, beliau menumpukan masa dan penghayatannya terhadap agama Islam. Beliau menggalakkan kemasukan guru-guru agama di kampungnya sementara beliau sendiri tidak jemu-jemu mendalami pengetahuannya dalam bidang ini.
Setelah menunaikan haji buat kali kedua, pada 21 April 1957, Panglima Haji Salleh telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar, Johor Bahru kerana menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor.
Kalami Lisani
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.