IDENTITI TIGA SUSPEK SERANG POLIS DIKENAL PASTI

Sungai Buloh, 10 April - Identiti tiga lagi suspek yang dipercayai cuba menyerang sepasukan anggota polis dengan parang berhampiran Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya awal pagi Isnin lepas sudah dikenal pasti.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan, kesemua mereka merupakan warga asing berusia dalam lingkungan 20-an.

"Dari siasatan awal, kumpulan suspek ini didapati datang dari Ampang menaiki sebuah teksi ke kawasan itu untuk melakukan kegiatan samun.

"Bagaimanapun niat mereka dapat dikesan apabila pasukan ronda kita memantau kawasan itu pada pagi tersebut," katanya yang ditemui pemberita selepas melawat Wad Kanak-Kanak Hospital Sungai Buloh sempena sambutan Hari Polis ke-207, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya dapat menahan ketiga-ketiga suspek dalam waktu terdekat berdasarkan hasil siasatan terhadap seorang daripada anggota kumpulan itu yang sudah ditahan sebelum ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, sekumpulan empat suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota polis ketika mereka mahu menyamun di kawasan perumahan berhampiran kelab golf tersebut bertindak menyerang anggota polis, sebelum seorang daripada mereka ditembak dan cedera di kaki.

Sementara tiga yang lain berjaya meloloskan diri.

Mohd Shukri berkata suspek yang ditembak itu kini stabil dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Mengenai kes melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis peronda berdekatan apartmen Taman Putra Perdana, Puchong awal pagi semalam, beliau memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

"Setakat ini polis tidak menemui apa-apa bukti termasuk mayat dan kelongsong peluru di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

"Bagaimanapun kereta yang digunakan kedua-dua suspek sudah diperiksa dan didapati ia milik seorang wanita dan bukan dicuri. Mungkin kereta tersebut juga sudah disewakan kepada mereka atau kereta itu memang milik kawan dia," katanya.

Dalam kejadian 2.28 pagi itu, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di pusat membeli-belah telah mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki supaya berhenti.

Bagaimanapun, arahan itu tidak diendahkan, sebaliknya suspek memecut kenderaan itu.


Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an dipercayai melepaskan satu das tembakan semasa melarikan diri ke sebuah hutan berhampiran, setelah kereta yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta lain di kawasan parker apartmen tersebut. - BERNAMA

Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan