TIGA LELAKI LARIKAN MESIN ATM, KERUGIAN RM160,000

Kuala Lumpur, 2 April - Tiga lelaki melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank, mengakibatkan kerugian RM160,000 di Putra Mahkota, Putra Heights di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, tiga suspek dipercayai menggunakan tali dan penyangkut untuk menarik keluar satu daripada mesin ATM di bank terbabit.

"Mereka menggunakan sebuah van dipercayai jenis Hiace berwarna putih untuk melarikan mesin ATM itu dalam tempoh lebih kurang 10 minit," katanya.

Yahaya berkata suspek melarikan diri dengan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran palsu.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua daripada tiga suspek lelaki itu didapati memakai topeng 'ski mask', bertopi 'besbol', menggunakan "overall" berwarna hitam atau merah tertera perkataan "ENEOS" dan bersarung tangan berwarna putih," katanya.

Beliau berkata polis turut menemui 19 cap jari di lokasi kejadian.

"Melalui maklumat awal yang diperoleh daripada saksi awam, kedua-dua kenderaan suspek dipercayai menuju ke arah Tol Putra Heights Lebuhraya Elite, pihak kami sedang meneliti rakaman CCTV tol tersebut," katanya.

Yahaya berkata bank itu mempunyai 16 buah CCTV, namun hanya lima CCTV yang memfokuskan ke arah tempat terdapatnya mesin ATM. - BERNAMA

Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan