TINDAKAN PANTAS POLIS SELAMATKAN KANAK-KANAK DICULIK

Kota Kinabalu, 7 April - Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Likas, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di dalam kereta milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh penjenayah sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam kemudian.

"Kami sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana kamera litar tertutup di kawasan Asia City yang berjaya mengesan kenderaan itu dan percaya kes itu adalah cubaan menyamun kereta," katanya.

Chandra berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada seorang suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

"Kanak-kanak itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya dilarikan dia sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan membawa kesan trauma ke atas dirinya," katanya.


Difahamkan ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung meletakkan kereta jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup ketika singgah membeli makanan sebelum beberapa minit kemudian kanak-kanak itu hilang bersama kenderaan itu. - BERNAMA

Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment

0 Comments

Ulasan