Kejadian itu mengakibatkan seorang penumpang bot berkenaan iaitu Kenny Bisa, 28, hilang dibawa arus sungai, manakala 17 yang lain selamat.
Desmond berkata, kejadian itu berlaku hanya kira-kira 100 meter dari dermaga utama pekan Bintangor.
“Pada waktu kejadian, ada 18 penumpang dalam bot terbabit iaitu 17 lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 15 dan 60 tahun.
“Rombongan kami dalam perjalanan ke tanah perkuburan terletak di Nanga Bangkit, Selidap untuk mengebumikan mayat salah seorang penduduk yang meninggal dunia beberapa hari lalu.
“Kami menaiki dua buah bot. Satu membawa mayat. Satu lagi membawa penduduk serta dua beg simen dan keperluan lain untuk digunakan di tanah perkuburan,” kata Desmond ditemui di Dermaga Jabatan Kerja Raya, Bintangor, semalam.
Tambahnya, situasi di dalam bot adalah agak sarat dengan muatan dan penumpang.
“Ia mungkin menyebabkan bot kami mudah terbalik. Bila terbalik dilanda gelombang, saya lihat semua mangsa berusaha untuk berenang menyelamatkan diri.
“Saya lihat mangsa (Kenny) berenang dan cuba menyelamatkan adiknya iaitu Mackenzie Bisa, 18, yang turut berada dalam perahu terbabit dan tidak tahu berenang.
“Dia berjaya menarik adiknya dan mendapatkan sebiji tong minyak kosong sebagai pelampung untuk adiknya berpaut dan bergerak ke tebing sungai.
“Namun, selepas itu tiba-tiba saya lihat Kenny terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi,” kata Desmond.
Pada waktu kejadian, mangsa dipercayai menggunakan baju berwarna oren dan berseluar panjang hitam.
Kenny juga merupakan cucu kepada penduduk yang meninggal dunia terbabit.
Kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi semalam dan semua mangsa merupakan penduduk Rumah Usop, Sungai Sian, Bintangor.
Sementara itu, Desmond berkata, beberapa penumpang lain berenang ke tebing sungai dan ada yang berpaut di tepi bot gentian kaca mereka sementara menunggu untuk diselamatkan oleh penduduk yang menyaksikan kejadian.
Sementara itu, abang mangsa Tommy Bisa, 30, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau dan keluarga masih belum dapat mempercayai kejadian tersebut.
“Sebelum kejadian, tiada sebarang perkara atau kelakuan pelik berlaku kepada adik saya itu. Dia bersikap seperti biasa.
“Beliau adalah seorang yang periang dan amat disenangi di kalangan semua keluarga,” katanya.
Menurut Tommy, Kenny bekerja sebagai seorang mandur di sebuah ladang kelapa sawit di Balingian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor, Jabatan Pertahanan Awam Malayisa (JPAM) Sarikei, RELA, polis Bintangor serta masyarakat setempat.
Namun, sehingga jam 5 petang semalam mangsa belum ditemui, menurut Pegawai JPAM Sarikei, Mohd Noor yang dihubungi.
“Usaha SAR akan kita teruskan hingga jam 6 petang, (bergantung kepada cuaca) dan sekiranya mangsa belum ditemui, operasi diteruskan esok (hari ini),” katanya.
Sumber:Utusan Borneo
Komuniti PTT Zello, Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.