Polis Manjung sedang menjejaki tiga individu yang gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah berkaitan kes dadah. Orang ramai yang mengetahui lokasi ketiga-tiga individu itu diharapkan dapat menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
TIGA GAGAL TAMPIL DI MAHKAMAH
MANJUNG, 16 FEBRUARI 2014 - Polis Manjung sedang menjejaki tiga individu yang gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah berkaitan kes dadah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, tiga individu terbabit dikenakan waran tangkap kerana gagal menghadiri sebutan kes di sebuah mahkamah di sini.
Menurutnya, orang ramai yang mengetahui lokasi ketiga-tiga individu itu diharapkan dapat menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, mereka dikenali sebagai Abdul Murshid Tan berketurunan Cina Muslim dan alamat terakhir di Nombor 30, Taman Lumut Indah, Teluk Muruh.
"Dia ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Lelaki berusia 37 tahun berkenaan juga dikenal pasti sebagai ‘street pusher’ di kawasan Lumut yang berselindung di sebalik perniagaan aksesori kereta,” katanya pada sidang media, di sini.
Seorang lagi individu dikehendaki, dikenali sebagai Rasul Abdul Rahman, 35, beralamat di nombor 177, Taman Muhibbah, Sitiawan.
Jaafar berkata, suspek berkenaan juga ditahan kerana kesalahan memiliki dadah dan dikenali sebagai ‘street pusher’ di kawasan Lumut dan dipercayai melarikan diri apabila mengetahui dirinya dikehendaki polis.
Katanya, seorang lagi individu dikenali sebagai Lydiawati Amran berumur 22 tahun dan ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
Beliau berkata, suspek yang beralamat di nombor 29 C, Taman Singa Baru, Sitiawan juga dikenali sebagai ‘runner’ dadah jenis Syabu juga di kawasan Lumut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, statistik tangkapan dadah sepanjang tahun lalu mencatatkan 645 kes melibatkan pengedaran dan memiliki dadah.
Menurutnya, seramai 699 tangkapan melibatkan kes mengedarkan dan memiliki dadah manakala sebanyak 59 orang ditangkap melibatkan Seksyen 39 (B).
“Bagi Januari tahun ini pula sebanyak 51 kes dicatatkan bagi kes melibatkan pengedaran dan memiliki dadah dan seramai 55 orang berjaya ditangkap bagi kes ini.
“Bagi kes penagihan dadah pula sebanyak 30 kes dicatatkan dan 30 individu berjaya ditahan,” katanya.
Jaafar berkata, operasi berkaitan dadah sentiasa dijalankan bagi mengekang gejala dadah yang boleh membawa kepada masalah sosial.
“Kita memang serius dalam menangani isu ini kerana ia boleh membawa kepada masalah sosial lain.
“Orang ramai juga diharapkan dapat memerikan maklumat kepada pihak kami supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN
Komuniti PTT Zello, Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "
Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian
0 Comments
Terima kasih tinggalkan komen anda si sini.